Hadith “FATIMAH JANDA TALAK TIGA”

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

[sociallocker]

Fatimah binti Qais melaporkan dia telah dicerai talak tiga. Nabi Muhammad memberitahu dia tidak berhak menerima rumah dan belanja hidup dari bekas suaminya.
Nabi berkata, “Apabila puan tamat tempoh iddah, beritahu saya.”
Selepas idahnya tamat, Fatimah pun memberitahu Nabi. Kemudian tiga lelaki melamarnya iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid.
Nabi berkata, “Muawiyah itu orang miskin. Abu Jaham suka memukul isteri. Sebaiknya puan terima Usamah.”
Fatimah tidak setuju. Sambil dia memulas-mulas tangannya, katanya, “Usamah?”
Nabi berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi puan.”
Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya sendiri, dia menikmati kebahagiaan dengan Usamah.

————————–

CARA MENGUMPAT YANG BETUL

Hadith ‘Fatimah Janda Talak Tiga’ ini sangat menarik. Pada prinsipnya, perbuatan mendedahkan aib orang adalah tidak dibenarkan. Maksudnya, apabila seseorang itu mempunyai kelemahan, kekurangan, dan kecacatan pada dirinya, perkara itu mengaibkan dia sekiranya diketahui oleh orang lain. Mengumpat adalah mendedahkan aib orang lain. Apabila kita mengetahui kelemahan, kekurangan, dan kecacatan seseorang itu kita tidak boleh mendedahkannya kepada sesiapa pun. Dalam bahasa mudah kita tidak boleh mengumpat orang.

Hadith ‘Fatimah Janda Talak Tiga’ ini penting. Walaupun pada prinsipnya kita tidak boleh mengumpat, bersandarkan hadith ini ada kekecualian. Kita boleh mendedahkan keburukan peribadi seseorang itu apabila dalam kes seperti yang dialami oleh Fatimah dalam hadith ini. Dalam kes ini Fatimah telah dilamar oleh tiga lelaki iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah. Fatimah lebih cenderung menerima lamaran salah seorang daripada dua lelaki itu, yakni sama ada Muawiyah ataupun Abu Jaham. Dia tidak berminat menerima lamaran Usamah.

Nabi tidak setuju dengan kecenderungan Fatimah itu. Beliau telah mendedahkan aib Muawiyah dan aib Abu Jaham kepada Fatimah. Kata Nabi, “Muawiyah itu miskin, Abu Jaham itu suka memukul isterinya.” Dalam bahasa sekarang, Nabi telah mengumpat Muawiyah dan Abu Jaham. Berdasarkan hadith ini, kita boleh mendedahkan aib orang apabila dalam kes macam yang berlaku pada Fatimah di mana dia mungkin tidak tahu kekurangan yang ada pada diri Muawiyah dan Abu Jaham, sedangkan kekurangan dua lelaki itu sangat serius kesannya sekiranya diambil menjadi suami oleh Fatimah. Supaya Fatimah tidak mengalami risiko bahaya menjadi mangsa keganasan rumahtangga ataupun hidup menderita sebagai perempuan miskin pada masa depan, maka itulah Nabi mendedahkan aib dua lelaki itu. Dari hadith ini, dapat ditarik keluar beberapa prinsip dalam mendedahkan aib orang:

1. Aib itu didedahkan kepada bakal mangsa sahaja.

Dalam kes ini Fatimah berdepan dengan risiko menjadi bakal mangsa. Jadi Nabi hanya mendedahkan aib Muawiyah dan Abu Jaham kepada Fatimah sahaja, tidak kepada orang-orang lain.

2. Hanya 1 sahaja aib yang didedahkan.

“Muawiyah itu miskin, Abu Jaham itu suka memukul isterinya.” Muawiyah dan Abu Jaham mungkin mempunyai aib-aib lain, bukan setakat memukul isteri ataupun miskin, tetapi Nabi tidak mendedahkan kepada Fatimah aib-aib mereka yang lain.

3. Aib yang didedahkan itu spesifik.

Aib ‘memukul isteri’ dan ‘miskin’ adalah spesifik, yakni tepat. Bukan aib yang umum sifatnya.

4. Aib itu tidak dihuraikan.

Nabi tidak menerangkan dengan panjang lebar maksud ‘miskin’ si Muawiyah dan maksud ‘memukul isteri’ si Abu Jaham. Cukup dengan menyebut ‘miskin’ dan ‘memukul isteri sahaja. Tidak diterangkan miskin yang macam mana, teruk sangatkah kemiskinannya? Ataupun pukul isteri yang macam mana, dipukul sampai patah tulangkah?

5. Aib yang didedahkan itu adalah aib yang relevan kepada bakal mangsa sahaja.

Dalam kes ini Fatimah adalah bakal mangsa kepada Muawiyah ataupun Abu Jaham. Aib yang relevan kepada Fatimah adalah memukul isteri dan miskin. Aib-aib lain yang ada pada Muawiyah dan Abu Jaham tidak didedahkan kepada Fatimah, kerana aib-aib itu tidak relevan dalam kes Fatimah yang sedang menilai lamaran dua lelaki itu.

Nota: Aspek-aspek lain pada hadith ini diterangkan dalam artikel lain

Baca di sini untuk artikel kedua : Hadith “FATIMAH JANDA TALAK TIGA” – PROSEDUR KAUNSELING PENCERAIAN )

[/sociallocker]

Tinggalkan Komen

FOLLOW KAMI

popular

Subscribe

Dapatkan info terkini AinonMohd.my. Join Telegram Puan Ainon. Klik butang di bawah.