Hadith “FATIMAH JANDA TALAK TIGA” – PROSEDUR KAUNSELING PENCERAIAN

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Fatimah binti Qais melaporkan dia telah dicerai talak tiga. Nabi Muhammad memberitahu dia tidak berhak menerima rumah dan belanja hidup dari bekas suaminya.
Nabi berkata, “Apabila puan tamat tempoh iddah, beritahu saya.”
Selepas idahnya tamat, Fatimah pun memberitahu Nabi. Kemudian tiga lelaki melamarnya iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid.

[sociallocker]

Nabi berkata, “Muawiyah itu orang miskin. Abu Jaham suka memukul isteri. Sebaiknya puan terima Usamah.”
Fatimah tidak setuju. Sambil dia memulas-mulas tangannya, katanya, “Usamah?”
Nabi berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi puan.”
Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya sendiri, dia menikmati kebahagiaan dengan Usamah.

————————–

PROSEDUR KAUNSELING PERCERAIAN

Hadith ‘Fatimah Janda Talak Tiga’ ini adalah salah satu hadith yang di dalamnya terkandung prosedur memberi kaunseling kepada janda yang dicerai dengan talak tiga.

Berikut adalah prinsip-prinsip kaunseling yang dapat ditarik keluar dari hadith ini:

1. Terangkan hukum cerai talak tiga.

Mula-mula sekali kaunselor menerangkan kepada kaunselinya duduk perkara dalam kes dirinya sebagai seorang perempuan yang dicerai dengan talak tiga.

Dalam hadith itu Nabi memberitahu kepada Fatimah bahawa dia tidak berhak menerima rumah dan belanja hidup dari bekas suaminya.

2. Selesaikan tempoh iddah.

Apabila janda itu datang membuat aduan semasa dia masih dalam tempoh iddah, suruh janda itu pulang dahulu, dan dia perlu datang lagi apabila tempoh iddahnya sudah tamat.

Dalam hadith ini sesi, kaunseling tidak dijalankan semasa dalam tempoh iddah.

3. Terangkan hukum yang relevan sahaja.

Dalam hadith ini Nabi tidak menerangkan kepada Fatimah semua hukum-hakam berkenaan cerai talak tiga.

Yang diterangkan kepada Fatimah adalah hukum yang serta-merta relevan kepada diri janda itu sahaja, iaitu bahawa perempuan yang dicerai dengan talak tiga tidak berhak menerima rumah dan belanja hidup dari bekas suaminya.

Nabi tidak menerangkan hukum-hukum lain-lain dalam topik perceraian talak tiga, seperti Fatimah tidak boleh rujuk dengan suaminya dan lain-lain aspek dalam fiqah talak tiga.

4. Tidak menyiasat punca Fatimah dicerai talak tiga.

Dalam hadith itu Nabi tidak bertanya kepada Fatimah apa yang telah berlaku sehingga hal itu telah menyebabkan suaminya melafazkan kata-kata yang menjatuhkan cerai talak tiga.

Dalam erti kata yang lain Nabi tidak menyuruh Fatimah menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga membawa kepada perceraiannya itu.

Implikasi prinsip tidak menyiasat punca perceraian Fatimah adalah penting.

Pertama, Fatimah tidak mendedahkan aibnya kepada Nabi sebagai kaunselornya.

Kedua, Fatimah tidak mendedahkan aib bekas suaminya ataupun pihak-pihak lain yang mungkin ikut terlibat dan campur tangan dalam isu perceraiannya. Dalam erti kata yang lain dalam kaunseling gaya Nabi pihak kaunselor tidak mengetahui sebarang aib pihak kaunselinya.

5. Tidak bertanya latar belakang diri Fatimah.

Dalam hadith di atas Nabi tidak bertanya kepada Fatimah sebarang maklumat tentang dirinya, seperti usianya, kampung asalnya, berapa lama dia berkahwin, apakah dia pernah berkahwin sebelum itu, dan lain-lain maklumat peribadi.

6. Tidak bertanya latar belakang bekas suami Fatimah.

Dalam hadith di atas Nabi tidak bertanya kepada Fatimah sebarang maklumat tentang diri bekas suami Fatimah. Sebagai contoh, Nabi tidak bertanya siapa nama suaminya, umur suaminya, apa pekerjaan suaminya, kampung asalnya, bangsanya, dan lain-lain lagi.

7. Tidak bertanya latar belakang perkahwinan Fatimah.

Dalam hadith di atas Nabi tidak bertanya kepada Fatimah sebarang maklumat tentang latar belakang perkahwinannya, sebagai contoh tarikh dia berkahwin, di negeri mana mereka bernikah, apakah dia isteri pertama kepada bekas suaminya, ataupun apakah dia mempunyai madu, berapa orang anaknya, apakah ada lagi keburukan perangai suaminya terhadap dirinya, dan lain-lain maklumat.

Implikasi prisnsip ini adalah dalam kaunseling gaya Nabi, pihak kaunselor tidak mendorong kaunselinya mendedahkan aib dirinya sendiri, dan tidak memburuk-burukkan bekas suaminya.

8. Tidak meragui kata-kata Fatimah.

Dalam hadith ini Nabi menerima aduan Fatimah sebagai aduan yang benar, yakni tidak meragui kebenaran aduan Fatimah bahawa dirinya telah dijatuhi talak tiga.

9. Tidak memanggil bekas suami Fatimah.

Dalam hadith ini, Nabi tidak memanggil bekas suami Fatimah supaya aduan bekas isterinya dapat disiasat sejauh mana kebenaran aduan itu, ataupun supaya bekas suaminya dapat membela dirinya.

10. Tidak memanggil saksi.

Dalam hadith ini, Nabi tidak memanggil saksi ataupun meminta sebarang bukti bagi mengesahkan aduan Fatimah.

11. Tidak menunjukkan emosi kasihan kepada Fatimah.

Dalam hadith ini, sebagai kaunselor Nabi tidak mengucapkan kata-kata yang menunjukkan dia bersimpati terhadap nasib malang yang menimpa Fatimah.

12. Tidak menilai perbuatan bekas suami Fatimah.

Dalam hadith ini, sebagai kaunselor Nabi tidak mengucapkan kata-kata yang menunjukkan beliau tidak setuju ataupun menyalahkan bekas suami Fatimah ke atas perbuatan sebagai seorang suami ke atas isterinya.

Nota: Aspek lain dalam hadith ini dibincangkan dalam artikel lain.

[/sociallocker]

Tinggalkan Komen

FOLLOW KAMI

popular

Subscribe

Dapatkan info terkini AinonMohd.my. Join Telegram Puan Ainon. Klik butang di bawah.